Hati oh Hati..duhai hatiku…sejahteralah kamu...
Soalnya hati…
” Ketahuilah bahawa di dalam badan manusia ada seketul daging,
apabila ia baik maka baiklah seluruh badan tersebut dan apabila ia rosak maka
rosaklah seluruh badan tersebut. Ketahuilah bahawa (daging tersebut) adalah
hati.”
KENAPA HATI PERLU DIJAGA
Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu
dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini
ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai
pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati,
semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
"
Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan
arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau
memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa
keuntungan.
Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri
manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika
sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia.
(Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka
dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang
boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.
Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati
kebahagian seperti di bawah ini:
* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah (lambang kematangan iman)
* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah
Allah.
Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa
hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.
Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud:
"Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan
mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera). "
Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam
perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.
Apa yang perlu mereka ketahui, ialah bahawa hati manusia terbahagi
kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia terserah
kepada manusia Muslim untuk memilih salah satu daripada tiga jenis hati:
(a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat, syirik,
bidaah, nifaq),
(b) hati yang mati dan
(c) hati yang sakit.
Hati yang sejahtera
Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu serakah yang
menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya,
tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang
sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia,
takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi
seseorang Muslim dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung
kepada hukum-hakam- Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati.
Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat.
Hati yang mati
Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100 peratus,
iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti
hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum- Nya, membenci golongan yang menyeru kepada
kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik
malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati
dengan Islam.
Hati yang sakit
Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan
dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada
kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.
Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?
Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web
islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:
1. Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan
bertaubat kepada Allah.
2. Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3. Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada
kelazatan makanan dan minuman.
4. Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca
khususnya ketika melaksanakan solat.
5. Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak
yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6. Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk
meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7. Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis
untuk selain-Nya.
Tanda-tanda hati yang rosak:
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan
maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada
larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan
kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk
agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan
keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut
kepada Allah.
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Kaedah rawatan penyakit hati:
a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud
ayat al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan
keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu
agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga
malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan
perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah
SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan
Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang
dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh
dijadikan teladan.
Ya Allah semoga Engkau pelihara hati-hati kami..kurniakanlah kami hati yang sejahtera..amin Ya ALLAH..YA RAHMAN..YA RAHIM..
Sharing from : http://sakan.tripod.com/hati.html
Credit to : Nurhayati Jusoh
Comments
Post a Comment